Setiap umat Islam pasti teringin bertemu ‘Lailatul Qadar’ iaitu malam penuh rahmat dan kemuliaan. Malam yang mempunyai 7 keistimewaan ini begitu utama dari malam-malam yang lain kerana ia hanya boleh ditemui setahun sekali sahaja iaitu pada salah satu daripada 10 malam terakhir Ramadhan.
Perkara itu dijelaskan dalam firman Allah سبحانه وتعالى:
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ ﴿٢
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Al-Qadar. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu?”
(Surah Al-Qadar; Ayat 1 – 2)
.
.
7 Keistimewaan Lailatul Qadar tersebut adalah:~
.
1. Waktu Diturunkan Al-Quran
.
Lailatul Qadar menunjukkan keistimewaan kerana pada malam inilah Allah سبحانه وتعالى menurunkan kitab suci utama iaitu Al-Quranul Karim.
.
Ibnu ‘Abbas dan selainnya mengatakan, “Allah menurunkan Al-Quran secara keseluruhansekaligus dari Lauhul Mahfuzh ke Baitul’ Izzah yang ada di langit dunia. Kemudian Allah menurunkan Al-Quran kepada Rasulullah ﷺ tersebut secara beransur-ansur sesuai dengan peristiwa dan kejadian yang berlaku sepanjang 23 tahun.”
.
.
2. Lebih Baik Dari 1000 Bulan
.
Keutamaan Lailatul Qadar sungguh luar biasa kerana malam ini lebih baik dari 1000 bulan dan bersamaan dengan 83 tahun.
Allah سبحانه وتعالى berfirman;
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ
“Malam Lailatul-Qadar (Malam Kemuliaan) itu lebih baik dari seribu bulan.”
(Surah Al-Qadar; Ayat 3)
.
An Nakha’I dalam ‘Latha-if Al Ma’arif’ menyatakan, “Amalan di lailatul qadar lebih baik dari amalan di 1000 bulan.” Mujahid, Qotadah dan ulama lainnya berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan lebih baik dari seribu bulan adalah solat dan amalan pada lailatul qadar lebih baik dari solat dan puasa di 1000 bulan yang tidak terdapat lailatul qadar. (Zaadul Masiir).
.
.
3. Malam Penuh Keberkatan
.
Lailatul Qadar adalah malam yang penuh keberkatan berdasarkan firman Allah سبحانه وتعالى,
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ
“Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.”
.
‘Malam penuh berkat’ ini adalah malam ‘Lailatul Qadar’ dan ini juga menunjukkan keistimewaan malam tersebut. Ramai malaikat yang akan turun pada Lailatul Qadar kerana banyaknya keberkatan pada malam tersebut dan turunnya malaikat menandakan melimpahnya berkat dan rahmat.
.
.
4. Turunnya Jibril Dan Para Malaikat
.
Keistimewaan Lailatul Qadar diiringi juga dengan turunnya para malaikat yang diketuai oleh ‘Ar Ruuh’ iaitu malaikat Jibril pada malam al-Qadr dalam suatu angkatan yang besar, penuh gilang-gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang berpuasa dengan seikhlas hati.
Allah سبحانه وتعالى berfirman,
تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم
“Pada Malam itu, turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka.”
(Surah Al-Qadar; Ayat 4)
.
Keistimewaan ‘Ar Ruuh’ atau Malaikat Jibril yang disebut dalam ayat di atas adalah bagi menunjukkan kemuliaan (keutamaan) malaikat tersebut.
Sebagaimana malaikat turun ketika ada yang membacakan Al-Quran, mereka juga akan mengelilingi orang-orang yang berada dalam majlis zikir dan majlis ilmu. Para malaikat akan meletakkan sayap-sayap mereka pada penuntut ilmu kerana malaikat sangat mengagungkan mereka. (Tafsir Al-Quran Al ‘Azhim, 14: 407)
.
.
5. Malam Kesejahteraan
.
Lailatul Qadar disifatkan sebagai keutamaan luar biasa dan kesejahteraan kerana pada malam itu malaikat turun untuk mengucapkan “Salam Sejahtera” kepada seluruh penduduk bumi.
Firman Allah سبحانه وتعالى;
سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْر
“Sejahteralah Malam (yang penuh berkat) itu hingga terbit fajar!”
(Surah Al-Qadar; Ayat 5)
.
Mujahid menyatakan, “Malam tersebut penuh keselamatan di mana syaitan tidak dapat berbuat apa-apa di malam tersebut, baik berbuat buruk atau mengganggu yang lain.” (Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim). Juga boleh membawa makna bahawa malam tersebut, banyak yang terselamat dari hukuman dan seksaan kerana mereka melakukan ketaatan pada Allah سبحانه وتعالى (pada malam tersebut).
.
.
6. Dicatatkan Takdir Tahunan
.
Lailatul Qadar adalah malam penulisan dan dicatatkan takdir tahunan. Imam Nawawi rahimahullah dalam ‘Syarh Muslim’ bahawa catatan takdir tahunan tersebut tentu saja didahului oleh ilmu dan penulisan Allah سبحانه وتعالى. Takdir ini nantinya akan diperlihatkan kepada malaikat dan ia akan mengetahui yang akan terjadi dan mereka akan melaksanakan tugas yang diperintahkan untuknya.
.
Allah سبحانه وتعالى berfirman,
فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ
“Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah”
.
Ibnu Katsir dalam kitab tafsirnya menerangkan bahawa pada Lailatul Qadar akan diperhalusi di Lauhul Mahfuzh mengenai penulisan takdir dalam setahun, juga akan dicatat ajal maut dan rezeki. Dan turut juga akan dicatat segala sesuatu hingga akhir dalam setahun. Demikian juga diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar, Abu Malik, Mujahid, Adh Dhahhak dan ulama salaf lainnya.
.
Allah سبحانه وتعالى berfirman,
يَمْحُوا۟ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ وَيُثْبِتُ ۖ وَعِندَهُۥٓ أُمُّ ٱلْكِتَٰبِ
“Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki), dan di sisi-Nya-lah terdapat Umulkitab (Lohmahfuz).”
(Surah Ar Ra’d; Ayat 39)
.
.
7. Dosa Diampunkan
.
Dosa setiap orang yang menghidupkan malam ‘Lailatul Qadar’ akan diampunkan oleh Allah سبحانه وتعالى.
Dari Abu Hurairah, Rasulullah ﷺ bersabda,
مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Sesiapa melaksanakan solat pada malam lailatul qadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan.”
(Hadis Riwayat Bukhari r.a.)
.
Ibnu Hajar Al Asqalani mengatakan bahawa yang dimaksudkan ‘iimaanan’ (kerana iman)adalah membenarkan janji Allah سبحانه وتعالى iaitu pahala yang diberikan kepada orang yang menghidupkan malam tersebut. Manakala ‘ihtisaaban’ bermakna mengharap pahala dari sisi Allah سبحانه وتعالى, bukan kerana mengharap selainnya seperti berbuat riyak. (Fathul Bari)
.
.
‘Lailatul Qadar’ juga dikenali dengan nama ‘Lailatul Syaraf’ bermaksud malam kemuliaan atau ‘Lailatul Tajalli’ yang bermakna malam Allah سبحانه وتعالى melimpahkan cahaya dan hidayahNya kepada orang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.
Orang yang beribadah sepanjang tahun tentu lebih cerah dan mudah mendapatkan 7 keistimewaan dan kemuliaan malam tersebut kerana ibadahnya bersifat kekal, tetap, ikhlas dan konsisten berbanding dengan orang yang beribadah jarang-jarang.
“Ya Allah! Mudahkanlah bagi kami meraih keistimewaan Lailatul Qadar di hari-hari terakhir bulan Ramadhan tahun ini dengan kami berupaya mengisinya dengan seikhlas hati bersolat, berzikir dan beramal soleh tanpa rasa mengantuk.”
Aaminnn Yaa Rabbal Alamin…
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)